20 Tempat Menarik di Kota Kinabalu (Terbaru 2020)

11:55 AM

Apa yang anda bayangkan kalau sebut sahaja Kota Kinabalu? Mesti perkara pertama yang tergambar di fikiran adalah Gunung Kinabalu bukan? Jangan hentikan imaginasi anda di situ sahaja, kerana sebenarnya sangat banyak tarikan lain yang sangat best untuk dilawati di bandar ini.

Dari tarikan Kampung Budaya Mari-Mari yang menjadi pusat pelbagai entik di Sabah hinggalah kepada tarikan yang dapat memacu adrenalin anda di Zip Borneo, Kota Kinabalu adalah sebuah destinasi eksotik yang wajib dilawati walau sekali dalam seumur hidup!

Percayalah, semangat anda untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pilihan untuk percutian akan datang akan semakin berkobar-kobar sebaik membaca senarai tempat menarik di Kota Kinabalu ini. Nak tahu di mana? Teruskan membaca.

1. Taman Tunku Abdul Rahman
 

Taman Tunku Abdul Rahman ataupun Taman Laut Tunku Abdul Rahman merupakan kawasan yang terdiri daripada 5 buah pulau iaitu Pulau Gaya, Manukan, Sapi, Sulug dan Mamutik. Untuk menuju ke pulau-pulau ini hanya mengambil masa beberapa minit dari Kota Kinabalu dengan menaiki bot.

Dalam banyak-banyak pulau yang terdapat di Taman Laut ini, Pulau Gaya dan Manukan adalah pulau yang terbesar, manakala pulau yang paling membangun pula adalah Pulau Manukan dan Sapi. Tak kisahlah yang mana satu pun yang anda rancang untuk singgahi bersama keluarga, kesemuanya menawarkan keindahan yang mempesonakan.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan-kawasan tarikan Taman Tunku Abdul Rahman adalah snorkeling, berkayak, berbbq, menyelam skuba, merentas hutan dan banyak lagi aktiviti pantai yang lain.

Secara keseluruhannya, Taman Tunku Abdul Rahman menawarkan lebih daripada 25 lokasi menarik untuk aktiviti menyelam skuba.

Alamat: Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah 

2. Pulau Manukan
 

Ingin tenggelam dalam keindahan alam semula jadi yang mengujakan? Anda sekeluarga boleh melawat Pulau Manukan yang terletak hanyalah dalam sekitar 30 minit dari Kota Kinabalu.

Pulau yang merupakan sebahagian daripada Taman Laut Tunku Abdul Rahman ini menawarkan kawasan pantai dengan pasir putih yang berkepanjangan 1.5 km. Anda boleh menuju ke sini dengan menaiki bot dari jeti Jesselton Point.

Alamat: Pulau Manukan, Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM3

3. Waterfront Seafood Night Market
 

Perut menggerodak selepas penat berjalan makan angin di sekitar Kota Kinabalu? Anda boleh menuju ke Waterfront Seafood Night Market ataupun Sinsuran Seafood Night Market.

Di sini, anda sekeluarga boleh mengenyangkan perut yang lapar dengan menikmati bermacam-macam makanan laut yang dimasak secara fresh untuk anda nikmati! Tunjuk je apa yang anda nak makan, nak udang, ikan pari-pari, sotong atau bermacam-macam lagi, dan peniaga tersebut akan masak untuk anda.

Selepas puas menikmati makanan, anda boleh berjalan di kawasan lain pasar malam ini untuk membeli bermacam makanan tempatan lain dan sayur-sayuran yang segar.

Alamat: Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, Sabah

4. Wisma Sabah
 

Wisma Sabah adalah lokasi di mana terletaknya banyak pilihan agen pelancongan yang dapat membantu penerokaan anda di sekitar negeri ini.

Sama ada untuk melawat pulau-pulau di Sabah, menerokai hutan belantara atau penerokaan di bandar ini sendiri, anda boleh mendapatkan khidmat daripada agen-agen yang terdapat di wisma ini.

Di samping itu, di sini juga terdapat banyak jualan barangan untuk para pelancong. Pendek kata, untuk apa sahaja yang berkaitan dengan pelancongan di Sabah, bolehlah datang ke sini.

Alamat: Jalan Haji Saman, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah

5. Street Art Graffiti Gallery
 

Bukan hanya di Penang, di Kota Kinabalu juga ada lokasi seni jalanannya! Street Art Grafitti Gallery merupakan kawasan di mana grafiti dilukiskan pada sisa bangunan kolonial British yang dibina antara tahun 1918 ke 1920.

Bangunan ini sebenarnya terselamat daripada kemusnahan yang banyak berlaku ketika Perang Dunia Kedua, namun begitu, sebuah kebakaran besar telah terjadi kepada bangunan ini pada tahun 1992 yang hanya meninggalkan tapak dan tiang-tiangnya.

Apa yang tertinggal daripada bangunan tua ini telah dijadikan kanvas mereka-mereka yang dianugerahkan kreativiti dan ada juga yang sekadar merosakkan.

Pada sekilas pandangan, anda pasti akan terfikir yang ini mungkin hanyalah kawasan grafiti yang tiada makna, kosong dan penuh dengan vandalisme, namun bila didekati, sebenarnya banyak sebenarnya grafiti yang cukup mempesonakan dan profesional hasilnya!

Alamat: 20, Jalan Haji Saman, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah

6. Pasar Gaya
 

Jangan sesekali meninggalkan Kota Kinabalu sebelum menjejakkan kaki ke Pasar Gaya. Pasar Gaya merupakan pasar pagi bagi masyarakat di sini.

Anda boleh ke pasar ini untuk memilih pelbagai jenis cenderamata untuk dibawa pulang. Dari ukiran, keychain hinggalah kepada bermacam barangan berasaskan laut yang lain, boleh rambang mata dibuatnya.

Sekiranya anda ingin membeli-belah dengan tenang di pasar ini, datanglah sebelum pukul 8 pagi.

Alamat: Sunday Market (Gaya Street) Jalan Gaya Kota Kinabalu Sabah
Waktu Operasi: Dibuka Dari Pukul 6.00 am

7. Cowboy Town Tuaran
 

Terletak hanyalah dalam 45 minit ke 1 jam dari Kota Kinabalu, Cowboy Town Tuaran adalah sebuah tarikan di Sabah yang patut anda lawati untuk merasai pengalaman menjadi koboi!

Sampai sahaja di sini, anda pasti tidak sabar untuk bergambar di kawasan sekitar yang betul-betul kelihatan macam dalam filem koboi Hollywood.

Antara tarikan yang terdapat di sini adalah kandang kuda, trek menunggang kuda, tarikan alam semula jadi paya bakau, taman herba, river cruise untuk melihat kelip-kelip dan banyak lagi! 

Alamat: Cowboy Town of Sabah, Sabandar Leisure Ride, Tuaran
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5

8. Kota Kinabalu Waterfront
 

Ingin menikmati pemandangan matahari tenggelam yang memukau pandangan? Datanglah ke Kota Kinabalu Waterfront. Anda boleh berjalan di sepanjang laluan papan berkepanjangan 1.4 km untuk melihat pemandangan ini dengan sepuas hati.

Di sekitar kawasan ini juga terdapat banyak tempat untuk makan makanan laut yang best untuk dicuba. Mana tidaknya, segalanya dihidangkan dengan segar! Nak makan ikan? Ketam? Udang? Dan macam-macam lagi makanan laut segar yang lain, segalanya ditawarkan di sini.

Alamat: Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu

9. Kota Kinabalu City Mosque / Masjid Terapung Likas
 

Kota Kinabalu City Mosque ataupun Masjid Terapung Likas adalah masjid kedua yang terpenting di bandar Kota Kinabalu.

Masjid yang terletak di pesisir pantai Likas ini memiliki keluasan sebanyak 14.83 hektar dengan kemampuan untuk menampung sehingga 12,000 jemaah pada satu-satu masa. Jika dilihat dengan teliti, masjid ini memiliki reka bentuk Masjid Nabawi di Madinah.

Jangan lepaskan peluang untuk bersolat di sini! Sebelum ke tempat lain anda boleh melihat lukisan-lukisan yang dijual di ruang luar masjid ni, mungkin ada yang menarik hati?

Alamat: Jalan Teluk Likas, Kampung Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah

10. Marine Muzium Kota Kinabalu
 

Marine Muzium Kota Kinabalu adalah antara pusat akuarium yang terhebat di Kepulauan Borneo. Antara tarikan yang terdapat di sini adalah Marine Museum & Research Showcase, Marine Aquarium, Mangrove Walks, teater mini dan Ocean Outreach Corner.

Anda sekeluarga pasti teruja melihat kehidupan di dalam air yang dipamerkan dengan cara yang sangat menarik di dalam muzium ini.

Alamat: Universiti Malaysia Sabah, Borneo Marine Research Institute, Jalan UMS, 88400, Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.00 a – 4.00 pm) | Ahad & Cuti Umum Tutup
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM5

11. Kota Kinabalu Wetland Centre
 

Kota Kinabalu Wetland Centre ataupun Pusat Tanah Lembap Kota Kinabalu adalah sebuah tarikan hutan paya bakau yang berkeluasan 24 hektar (59 ekar).

Setibanya anda di sini, anda boleh menggunakan laluan yang disediakan di atas papan kayu yang berkepanjangan 1.5 km. Masa yang diambil untuk habis berjalan menikmati udara segar, memerhatikan burung, tumbuhan dan haiwan liar lain di sekitar hanyalah dalam 45 minit. 

Alamat: Jalan Bukit Bendera Upper, Taman Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00 am – 6.00 pm) | Isnin Tutup Kecuali Ketika Cuti Umum | Buka Pada Setiap Hari Cuti Umum
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM3

12. Zip Borneo
 

Dah berjalan ke sana ke mari di sekitar Kota Kinabalu, tapi tak tahu kenapa masih rasa tak puas hati, kemungkinan ubatnya adalah dengan melakukan aktiviti yang ditawarkan di Zip Borneo!

Di sini anda dapat menikmati keindahan yang ditawarkan di Kota Kinabalu sambil melakukan aktiviti lasak yang akan memacu adrenalin anda!

Antara aktiviti yang ditawarkan di sini adalah flying fox merentasi Sungai Kiulu, abseiling, wall climbing, berkayak, berkhemah dan lain-lain lagi. Anda boleh memilih aktiviti apa yang ingin dilakukan melalui pakej-pakej yang ditawarkan.

Alamat: The Adventure Centre, Kiulu
Bayaran: Dari RM60

13. Signal Hill Observatory Platform
 

Signal Hill Observatory Platform adalah sebuah ruang pemerhatian yang berbentuk seperti piring UFO yang terletak di puncak tertinggi bandar ini. Sekiranya anda sekeluarga ke sini, pemandangan yang meluas sekitar bandar daripada perspektif burung yang terbang tinggi dapat dilihat dengan sepuas hati.

Untuk menuju ke sini, anda boleh mendaki hingga ke puncak bukit ataupun menaiki teksi. Waktu terbaik untuk menikmati pemandangan dari sini adalah pada ketika matahari terbenam, keindahannya sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Alamat: Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu

14. Mari-Mari Cultural Village
 

Apa gunanya melancong ke negeri lain kalau tak cuba mengenali pelbagai etnik dan budaya di tempat tu? Untuk tujuan ni, anda boleh membuka langkah kaki ke Mari-Mari Cultural Village.

Di sinilah bermacam etnik tradisional Sabah dapat anda kenali dengan lebih dekat di dalam rumah-rumah tradisional mereka.

Anda sekeluarga dapat melihat budaya masyarakat yang banyak mengerjakan sawah padi Kadazan-Dusun, penduduk rumah panjang etnik Rungus, masyarakat pemburu dan nelayan Lundayeh, ‘koboi’ serta orang laut etnik Bajau, dan pemburu kepala manusia pada suatu ketika dulu, etnik Murut.

Antara aktiviti yang dapat anda lakukan di sini adalah belajar untuk menghidupkan api tanpa lighter, melihat demonstrasi pembuatan tali, lantai, jus pandan dan banyak lagi!

Alamat: Inanam, 88450 Kota Kinabalu, Sabah

15. Taman Hidupan Liar Lok Kawi
 

Ramai orang teringin untuk mendekati haiwan-haiwan Borneo atau fauna yang ditawarkan kepulauan ini, tapi, tak ramai yang berani atau rajin untuk meneroka kawasan hutan bagi mencari sendiri hidupan-hidupan ini.

Sebagai alternatif bagi semua, anda boleh melawat Taman Hidupan Liar Lok Kawi. Taman Hidupan ini merupakan sebuah zoo kecil yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti gajah, monyet yang termasuklah monyet proboscis, harimau dan banyak lagi!

Namun begitu, jangan lupa untuk memakai semburan penghalau nyamuk atau badan anda akan mula kemerahan dihinggapnya!

Alamat: 63, Jalan Penampang, 88200 Penampang, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30 am – 5.30 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5

16. Jesselton Point Waterfront
 

Jesselton Point Waterfront adalah kawasan terminal feri yang utama di bandar Kota Kinabalu. Pada asalnya, terminal ini dinamakan sebagai Terminal Feri Kota Kinabalu.

Di sinilah semua para pelawat yang ingin menjejakkan kaki ke pulau-pulau yang terletak di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman ataupun Labuan akan menunggu kehadiran bot-bot laju.

Terminal ini terletak di bahagian utara Kota Kinabalu dan hanyalah beberapa minit berjalan kaki dari banyak penginapan yang terletak berdekatan.

Bukan sekadar untuk naik bot, sekitar terminal ini juga terdapat banyak kedai-kedai makan, kafe dan juga gerai-gerai yang menjual pelbagai cenderamata.

Alamat: Jesselton Point Water Front

17. Kota Kinabalu Upside Down House
 

Dah bosan melihat benda-benda cliche, anda boleh melawat Kota Kinabalu Upside Down House. Mata anda akan dikejutkan dengan pemandangan yang pelik seperti hidup di angkasa lepas dek kerana kedudukan semua benda di dalam galeri ini yang terbalik daripada yang sepatutnya.

Sampaikan anda tertanya, diri sendiri yang terbalik atau barangan di sekeliling? Jangan lupa untuk membawa kamera dengan bateri yang penuh!

Alamat: Batu 21, Jalan Telibong – Tamparuli, Tuaran Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 7.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM12.70 | Kanak-Kanak RM5.30

18. Atkinson Clock Tower
 

Atkinson Clock Tower (Menara Jam Atkinson) adalah sebuah menara yang telah dibina untuk memperingati seorang pentadbir British yang meninggal dunia di usia muda iaitu ketika berumur 28 tahun pada tahun 1902, Francis George Atkinson kerana penyakit Malaria.

Menara ini telah dibina dengan menggunakan wang hasil sumbangan keluarga Atkinson sendiri serta para pelayar pada tahun 1905. Menara yang berketinggian 15.7 meter ini merupakan salah satu daripada 3 buah bangunan yang terselamat daripada pengeboman yang terjadi ketika Perang Dunia Ke-2.

Alamat: Berhampiran Dengan Padang Merdeka KK

19. Kipandi Butterfly Park
 

Siapa tak teruja melihat rama-rama yang penuh dengan warna-warni, tapi malangnya, susah betul nak bertembung dengan mereka ni kan?

Untuk memberikan anda sekeluarga kepuasan teruja yang tak habis-habis, anda boleh melawat Kipandi Butterfly Park. Di sini, walau di mana sahaja anda berjalan, anda akan sentiasa disapa dengan kehadiran komuniti serangga yang cun tak terkata ni.

Wajib untuk anda ke sini sekiranya berpeluang kerana bukan sedikit tetapi lebih daripada 1,500 ekor rama-rama yang terdiri daripada lebih 100 spesies.

Bukan sahaja rama-rama, anda juga dapat melihat sekitar 500 spesies orkid, hampir 30 spesies tumbuhan herba, pokok periuk kera dan lain-lain lagi!

Sebagai informasi tambahan, waktu yang terbaik untuk melawati taman ini bagi melihat kehadiran banyak rama-rama adalah dari pukul 9 pagi ke 11 pagi.

Alamat: Kampung Kipandi, Moyog, Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 4.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5

20. Pantai Tanjung Aru
 

Pantai Tanjung Aru adalah lokasi di mana anda sekeluarga boleh melarikan diri dari kesibukan di kawasan bandar. Sekiranya anda menginap di sekitar bandar, anda boleh juga datang ke sini tanpa perlu bersusah-payah kerana kedudukannya yang tidak begitu jauh.

Jangan lupa juga untuk membawa kamera dan menanti saat-saat mengujakan matahari terbenam untuk diabadikan di dalam foto. Sebagai peringatan, waktu matahari melabuhkan tirai di Kepulauan Borneo ini adalah jauh lebih awal dari tanah Semenanjung, dalam sekitar 5.30 pm.

Alamat: Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah

Sumber: www.maisinggah.com

You Might Also Like

0 comments

Powered by Raja Eyrie. Powered by Blogger.

Featured Post

Pengalaman Isteri Bersalin Sebagai 'Full Paying Patient (FPP)' di Hospital Putrajaya

Salam sejahtera kepada semua di sini dan di sana, Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat co...

Disable text selection (prevent copy and paste)