Pengalaman Isteri Bersalin Sebagai 'Full Paying Patient (FPP)' di Hospital Putrajaya

2:06 PM

Salam sejahtera kepada semua di sini dan di sana,

Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat comel di Hospital Putrajaya pada tanggal 03 Februari 2020. Pengalaman kami sepanjang proses menimang cahaya mata pertama kami ini akan saya ceritakan di sini.

Disahkan mengandung...
Alhamdulillah, pada bulan Julai 2019, sang isteri telah memberitakan khabar gembira untuk kami, di mana dia telah disahkan mengandung 2 bulan. Kejadiannya sungguh tidak diduga sebabnya semasa sang isteri tengah bekerja di pejabat, dengan tidak semena-mena dia merasakan sesak nafas seolah-olah hendak pitam. Nasib baik ada rakan sekerjanya yang tersedar akan keadaan sang isteri lalu dibawanya ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Setelah diperiksa oleh doktor (blood test dan pregnancy test), akhirnya doktor memberikan keputusannya - hamil 2 bulan. Doktor tersebut mencadangkan sang isteri untuk membuat pemeriksaan lanjut di klinik ibu dan anak dan sebolehnya lakukan 'confirmation scanning' untuk pengesahan.

Pada keesokan harinya, kami pun terus sahaja ke klinik ibu dan anak untuk membuat 'confirmation scanning' dan alhamdulillah gambaran yang tertera adalah janin yang telah terbentuk, dan dianggarkan telah berusia 2 bulan. Begitulah serba sedikit cerita pada hari itu.

Mendaftarkan buku merah jambu (buku Rekod Kesihatan Ibu)...

Buku Rekod Kesihatan Ibu (buku pink klinik kesihatan)...
Setelah kandungan berusia 3 bulan, saya dan sang isteri ke klinik kesihatan berdekatan untuk membuka buku merah jambu. Proses pada hari tersebut termasuklah saringan air kencing, saringan darah dan sebagainya. Pada suami diluar sana, disarankan ambil cuti sehari kerana prosesnya memakan masa sehari suntuk (juga bergantung pada bilangan ibu hamil yang datang pada hari yang sama).

Juga diingatkan, anda mesti tahu hari apa yang dibolehkan datang ke klinik untuk kawasan anda. Kalau tidak tahu, boleh tanya di kaunter jururawat bertugas.

Niat asal ingin bersalin di And***a Women and Children...
Disebabkan sudah niat di hati sang isteri sejak mula-mula kahwin dulu untuk bersalin di And***a, maka kami pun mendaftarkan kemasukan untuk bersalin di sana setelah kandungan berusia 6 bulan.

Pada awalnya semua baik dan indah. Pendaftaran tidak memerlukan bayaran tetapi hanya perlu bayar kos 'compulsory pre-maternity checkup' sebanyak 2 kali di sana.

Tapi akhirnya setelah 2 kali melakukan 'compulsory pre-maternity checkup', sang isteri terpaksa melupakan hasrat untuk bersalin di sana disebabkan kenaikan harga pakej yang mendadak pada awal tahun 2020. Menurut pegawai khidmat pelanggan mereka, hanya yang membayar tempahan sebelum 31 Disember 2019 sahaja yang layak menikmati harga pakej 2019.

Yang membuatkan kami terkilan, kami tidak dimaklumkan untuk membuat tempahan sebelum 31 Disember 2019 walaupun setelah 2 kali kami datang untuk buat 'compulsory pre-maternity checkup'. Setelah ditanya sebab kenapa mereka tidak memaklumkan lebih awal, mereka mengatakan bahawa mereka telah membuat kenyataan di Instagram mereka. Logik ke guna Instagram sahaja untuk buat pengumuman?

'Full Paying Patient (FPP)' Hospital Putrajaya adalah sebenarnya yang terbaik...
Patah hati dengan layanan dan jawapan yang diberikan, kami pun terus ke Hospital Putrajaya untuk tempah pakej bersalin 'Full Paying Patient (FPP)' yang tidak kurang hebatnya dengan hospital bersalin swasta.

Bagi yang belum tahu, Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh atau Full Paying Patient (FPP) adalah skim rawatan yang mula diperkenalkan sejak tahun 2007 di hospital-hospital kerajaan yang terpilih. Dengan skim ini, pesakit boleh mendapat rawatan daripada pakar dan kemudahan bertaraf swasta, tapi dengan harga yang sangat berpatutan.

Alhamdulillah, semasa pendaftaran kami diberitahu bahawa FPP untuk bulan 2 masih lagi ada kekosongan. Dengan bayaran yang minima, kami buat pendaftaran dan pemeriksaan kehamilan di sana pada hari yang sama. Di sini juga memerlukan sang isteri untuk buat pemeriksaan sebanyak 2 kali sebelum bersalin, juga dengan kos yang minima.

Proses untuk ambil pakej 'Full Paying Patient (FPP) di Hospital Putrajaya...

Brochure FPP (mukasurat 1)...
Brochure FPP (mukasurat 2)...

Tempahan:
  • Buat tempahan seawal 6 bulan di Hospital Putrajaya 
  • Tempahan melalui panggilan telefon pun boleh. Nanti cakap nak tempah FPP. Nanti dia akan tanya 'due date' bersalin dan kalau kita setuju, dia akan bagi 1 tarikh untuk appointment pertama 
  • Ini nombor yang boleh dihubungi: 03-8312431 – FPP PUTRAJAYA

Pilihan Doktor:
  • Boleh pilih doktor, tapi bergantung kepada jadual mereka 
  • Untuk sang isteri, kami memilih Doktor Hazim (ketua jabatan O&G); tapi masa hari bersalin Doktor Hazim ada kes kecemasan, dan diganti dengan seorang lagi doktor pakar - Doktor Azmi

Pemeriksaan bulanan:
  • Wajib 2 kali pemeriksaan di Hospital Putrajaya (appointment) 
  • Selebihnya buat check-up di klinik kesihatan

Bayaran:
  • Harga setiap kali check-up adalah RM60 (pendaftaran) dan RM75 (selepas jumpa doktor). Jumlah RM135 
  • Untuk pembayaran, hanya tunai sahaja diterima. GL tidak diterima 
  • Deposit untuk kemasukan ke wad bersalin adalah RM3000. Baki akan dipulangkan semasa discharge nanti. Sekiranya kos melebihi deposit, maka kena buat tambahan bayaran
  • Kos bersalin normal (RM1,200 - RM2,500); caesarean (RM3,500 - RM4,900) 

Bilik Eksekutif FPP:
  • Bilik eksekutif adalah RM300/malam (seorang atau berdua) bergantung kepada kekosongan
  • Suami boleh menemani isteri 24 jam 
  • Ada katil tambahan (untuk bilik seorang sahaja) 
  • TV dan tandas sendiri 
  • Peti ais (untuk bilik seorang sahaja) 
  • Makanan memang lazat (hanya untuk isteri sahaja)
Waktu melawat FPP Putrajaya...

Layanan:
  • TERBAIK 
  • Nurse yang peramah dan sangat membantu 
  • Hanya doktor pakar/berpengalaman dan jururawat terlatih (tiada doktor pelatih yang bertugas)

Pakej bersalin FPP selain Hospital Putrajaya (dikemaskini sehingga 8 May 2019):
  • Hospital Sultanah Aminah (Johor) 
  • Hospital Sultan Ismail (Johor) 
  • Hospital Pulau Pinang (Penang) 
  • Hospital Ampang (Selangor) 
  • Hospital Sungai Buloh (Selangor)

Pendapat keseluruhan:
  • Puas hati 
  • Kos yang berlipat ganda lebih murah daripada hospital swasta, dengan layanan yang sama hebat 
  • Lebih terjamin sekiranya ada kecemasan pada ibu dan bayi
Segala keperitan mengandung dan bersalin sang isteri hilang sekelip mata selepas menatap wajah comel putera kami. Semoga semua info di atas dapat membantu anda semua membuat pilihan bijak.


Raja Eyrie

You Might Also Like

1 comments

  1. Alhamdulillah.. semoga semuanya sihat walafiat :)

    ReplyDelete

Komen anda:

Powered by Raja Eyrie. Powered by Blogger.

Featured Post

Pengalaman Isteri Bersalin Sebagai 'Full Paying Patient (FPP)' di Hospital Putrajaya

Salam sejahtera kepada semua di sini dan di sana, Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat co...

Disable text selection (prevent copy and paste)